JELI, 24 Ogos – Niat Perikatan Nasional (PN) untuk menggunakan logo yang berbeza daripada Persekutuan dalam sambutan Hari Kebangsaan di negeri-negeri yang dikuasainya, dikhuatiri boleh menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat dan kaum Malaysia.
Wan Mahussin Wan Zain, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, menganggap perkara ini sebagai satu tindakan yang berpotensi merosakkan semangat patriotik dan membawa ideologi politik ke dalam perayaan kebangsaan.
“Ini adalah tindakan yang berasas kepada kepentingan diri sendiri dan niat untuk mempromosikan ideologi politik dalam suasana patriotik. Mereka ingin menunjukkan pengaruh mereka dan pada masa yang sama, mencuba memasukkan elemen politik ke dalam perayaan kebangsaan.
“Pilihan raya adalah satu perkara, dan ia tidak sepatutnya disatukan dengan semangat kenegaraan. Apabila mereka memilih untuk menggunakan logo berasingan, ia jelas menunjukkan bahawa mereka sedang mengejar agenda politik dan bukanlah semangat kebangsaan yang sebenar,” katanya dalam kenyataannya kepada UMNO Online.

Wan Mahussin juga menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan ini boleh merosakkan pemikiran dan ideologi masyarakat di negeri-negeri yang diperintah oleh PN.
“Kita seharusnya merayakan hari kemerdekaan negara kita, bukan hanya negeri-negeri. Logo tersebut hanyalah satu lambang, tetapi ini jelas menunjukkan bahawa PN sedang merosakkan pemikiran dan ideologi masyarakat di seluruh Malaysia.
“Tindakan ini mungkin boleh membawa kepada perpecahan di kalangan kaum dan masyarakat di Malaysia,” katanya.
Media telah melaporkan pada Sabtu yang lalu bahawa empat negeri yang berada di bawah pentadbiran PN mungkin akan menggunakan logo dan tema yang berbeza dalam sambutan peringkat negeri mereka berbanding dengan logo serta tema peringkat Persekutuan.
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, mengumumkan bahawa Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu mungkin akan menggunakan logo dan tema alternatif yang telah diperkenalkan oleh Pemuda PN.
Beliau mengungkapkan bahawa logo baru tersebut menampilkan bunga raya dengan lima kelopak, yang juga merupakan bunga kebangsaan, dan menggabungkan elemen warna dari Jalur Gemilang. Temanya adalah ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera.’ – PemudaUMNO.my